Beban kerja guru pada hari ini bukanlah seperti 20-30 tahun yang lalu. Guru kini bukan sahaja terlibat dalam sesi pembelajaran dan pengajaran semasa waktu sekolah, malah mereka juga perlu membawa pulang lambakan kerja untuk disiapkan di rumah selain terlibat dengan pelbagai rancangan serta aktiviti yang membabitkan pelajar. Ditambah dengan ketiadaan bajet dari pihak atasan untuk menyediakan bahan pengajaran sewajarnya untuk anak-anak murid, mereka pula terpaksa berkorban wang poket sendiri semata-mata ingin melihat pelajar cemerlang dan berjaya.
Golongan
akademik ini perlu berhadapan dengan pelbagai tekanan - melayani kerenah
pelajar seramai 30-40 orang setiap kelas, memenuhi kehendak ibu bapa dan pada
masa yang sama perlu mencapai sasaran serta standard yang ditetapkan pihak
sekolah. Tidak cukup dengan itu, apabila dibuka media sosial, dibaca pula
pelbagai kecaman dan kata-kata kesat yang dilontarkan kepada mereka. Hal-hal
seperti ini boleh menyebabkan para guru sukar melakukan tugas mereka dengan
sempurna sehinggakan terlupa apa tujuan utama mereka menyertai bidang kerjaya
ini.