Friday, October 09, 2020

Pekerjaan Guru Berisiko Tinggi Menyebabkan Kemurungan Atau Jadi Gila

 


Beban kerja guru pada hari ini bukanlah seperti 20-30 tahun yang lalu. Guru kini bukan sahaja terlibat dalam sesi pembelajaran dan pengajaran semasa waktu sekolah, malah mereka juga perlu membawa pulang lambakan kerja untuk disiapkan di rumah selain terlibat dengan pelbagai rancangan serta aktiviti yang membabitkan pelajar. Ditambah dengan ketiadaan bajet dari pihak atasan untuk menyediakan bahan pengajaran sewajarnya untuk anak-anak murid, mereka pula terpaksa berkorban wang poket sendiri semata-mata ingin melihat pelajar cemerlang dan berjaya.

 

Golongan akademik ini perlu berhadapan dengan pelbagai tekanan - melayani kerenah pelajar seramai 30-40 orang setiap kelas, memenuhi kehendak ibu bapa dan pada masa yang sama perlu mencapai sasaran serta standard yang ditetapkan pihak sekolah. Tidak cukup dengan itu, apabila dibuka media sosial, dibaca pula pelbagai kecaman dan kata-kata kesat yang dilontarkan kepada mereka. Hal-hal seperti ini boleh menyebabkan para guru sukar melakukan tugas mereka dengan sempurna sehinggakan terlupa apa tujuan utama mereka menyertai bidang kerjaya ini.